Dakwaan terhadap MB Selangor taktik terdesak pihak tertentu

by

on

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Dakwaan kononnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluluskan tanah kepada syarikat sendiri adalah taktik terdesak menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya sudah meneliti hantaran di laman Facebook berkaitan laporan polis oleh Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berhubung dakwaan itu.

“Dakwaan beliau kononnya disokong dengan dokumen di mana kerajaan negeri Selangor memberikan 100.04 ekar tanah di Dengkil kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd.

“Pejabat Menteri Besar Selangor terbuka dan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi usaha membersihkan nama Menteri Besar Selangor berkaitan dakwaan mengkal ini.

“Saya sepenuhnya meyakini bahawa dakwaan ini adalah sejenis episod tuduhan ulang siar yang tidak jauh berbeza dengan episod yang diputar belit sewaktu Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 yang menyaksikan penuduh kini menghadapi tindakan saman daripada Menteri Besar sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin berkata taktik ini tidak lain adalah cubaan terdesak pihak tertentu menjelang PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang sangat mudah dibaca jalan cerita dan skripnya.

Katanya, pihaknya mengenalpasti beberapa fakta salah dan tersasar melalui hantaran beliau terdahulu.

“Kami dengan segala hormatnya mengalu-alukan beliau untuk menyertai kelompok individu yang akan disaman sebagaimana yang sedang dihadapi oleh seorang kenamaan di negeri utara tanah air pada masa ini berikutan kedangkalan fakta dalam melancar serangan politik murahan,” katanya.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.