Dakwaan aniaya penganjuran konsert artis tempatan, Aizuddin anggap isu selesai

by

on

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Aizuddin Ghazali menafikan dakwaan kononnya pihak mereka menganiaya seorang artis tempatan dan tidak telus dalam menganjurkan sebuah konsert tahun lalu.

Mohd Aizuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) berkata, berikutan isu berkenaan pihaknya sudah bertemu bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit.

“Saya sudah bertemu dengan pihak berkenaan dan pertemuan itu dihadiri oleh pihak saya dan pengurusan artis berkenaan.

“Pada pertemuan itu artis terbabit juga membawa peguam untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Perihatin, baru-baru ini.

Katanya, artis berkenaan sebenarnya telah dianiaya oleh orang terdekat iaitu pihak pengurusannya sendiri.

“Selepas kami memberikan gambaran sebenar, barulah artis itu tahu yang dia telah dianiaya oleh satu pihak lagi.

“Mereka akui telah berlaku salah faham. Saya anggap ini bukan satu isu yang perlu diperbesarkan. Lagipun, ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan artis,” katanya.

Mohd Aizuddin berkata, akibat masalah yang berlaku membuatkan dirinya berasa agak susah untuk bekerjasama dengan artis tempatan.

“Masalah ini berlaku kerana kita menggunakan platform pihak ketiga iaitu pengurusan artis.

“Mungkin sebab ini juga ramai yang mempersoalkan mengapa saya sering bekerjasama dengan artis luar.

“Saya bukan tidak mahu bekerjasama dengan artis tempatan cuma ada segelintir artis yang mempunyai pengurusan yang tidak betul,” katanya.

Tambah Aizuddin, isu ini telah pun selesai dan hubungannya bersama artis itu masih baik.

“Bagi saya, untuk menjadi artis yang berjaya, mereka kena ada pihak pengurusan yang kuat. Saya kesiankan artis itu dan saya tidak salahkan dia.

“Bila saya terangkan keadaan sebenar, dia pun faham. Dia ada bakat dan vokalnya bagus tapi bila diberikan sepenuh kepercayaan, pihak pengurusan ambil kesempatan pula,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis sambutan Iftar bersama Yayasan Nurjiwa, Mohd Aizuddin mengakui kagum dengan semangat Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mahu menyantuni golongan tidak bernasib baik di bulan Ramadan ini.

Malah dia juga menyokong usaha Siti yang mahu membalas jasa pihak media yang menjadi tulang belakang sepanjang bergelar anak seni.

“Saya menghormati Siti Nurhaliza dan suami Datuk K. Sangat senang untuk berurusan dengan mereka dan kami di Yayasan Prihatin Nasional berbangga dapat bekerjasama dalam program amal seperti ini,” katanya.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.